Monday 9 April 2012

Sistem Nilai Dalam Tamadun Islam


Islam merupakan risalah akhlaqiyah dan tamadun Islam merupakan tamadun akhlaqiyah. Seluruh misi dan risalah Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi unsur akhlak. Bahkan baginda telah mendifinisikan risalahnya dalam sabdanya: 

Maksudnya: Sesungguhnya (tujuan) saya diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak dan budi pekerti yang mulia. 

Allah s.w.t. mengesahkan sabda baginda tersebut dengan menurunkan ayat al-Quran yang memuji keluhuran budi pekerti baginda s.a.w.

Terjemahan: Sesungguhnya engkau (Muhammad) memiliki budi pekerti yang agung. 
(Surah al-Mulk 68:4) 

Isteri Rasulullah s.a.w. menafsirkan perkataan budi pekerti atau akhlak yang agung ini seraya berkata, "Sesungguhnya akhlak Nabi s.a.w. itu ialah al-Quran." 
Sesiapa yang membuka al-Quran dan mendalami kandungan maknanya nescaya dia akan meyaksikan aplikasi dan perlaksanaannya pada kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Kita dapati akhlak orang-orang muttaqin dalam surah al-Baqarah, budi pekerti 'Ibad ar-Rahman' dalam surah al-Furqan serta akhlak-akhlak mulia yang lain tercermin dalam tindak-tanduk kehidupan Rasulullah s.a.w.

Dalam Tamadun Islam akhlaklah yang yang memainkan peranan yang penting dalam mencorak sistem nilai tamadun Islam. Akhlak merupakan satu daripada tiga bahagian utama wahyu daripada Allah S.W.T di samping akidah dan syarak. Akhlak
ialah tingkahlaku yang dipengaruhi oleh nilai-nilai yang diyakini oleh seseorang dan sikap yang menjadi sebahagian daripada keperibadiannya. Nilai-nilai dan sikap itu pula terpancar daripada konsepsi dan gambarannya terhadap hidup. Dengan perkataan lain, nilai-nilai dan sikap itu terpancar daripada aqidahnya iaitu gambaran tentang kehidupan yang dipegang dan diyakininya

Sejarah membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu yang inginkan kejayaan bermula daripada pembinaan sistem nilai yahg kukuh yang dipengaruhi oleh unsur-unsur kebaikan yang terpancar daripada aqidah yang benar. Masyarakat itu runtuh dan tamadunnya hancur disebabkan keruntuhan nilai-nilai dan akhlak yang terbentuk daripadanya. Justeru itu, akhlak mempunyai peranan yang penting di dalam kehidupan dan dalam memelihara kemuliaan insan serta keluhurannya. Martabat manusia akan menurun setaraf haiwan sekiranya akhlak runtuh dan nilai-nilai murni tidak dihormati dan dihayati. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda mahfumnya: 

"Sesungguhnya aku diutus untuk melengkapkan akhlak yang mulia.”
(Riwayat al-Baihaqi) 

Akhlak menentukan sistem nilai yang menjadi pegangan masyarakat. Ianya terbahagi kepada dua seperti berikut :

i. Akhlak Mulia 
Akhlak yang mulia ini pula boleh kita bahagikan kepada lima bahagian seperti berikut :
 Berpusat di hati yang terdiri daripada sifat seperti ikhlas, benar, adil, amanah, dermawan, pengasih, penyanyang, belas kasihan, tawaduk, sabar, pemaaf dan dedikasi.
 Berpusat pada harta seperti sedekah jariah , sedekah harta yang lain, sedekah wang, makanan, pakaian dan sebagainya.
 Berpusat pada tenaga seperti tolong – menolong, bergotong – royong, melakukan kerja amal dan kerja sukarela.
 Berpusat pada bahasa seperti berbudi bahasa, bersopan santun, teliti, berals, menggunakan tamsil ibarat, nasihat yang baik dan fikiran yang baik.
 Berpusat pada sikap seperti bersikap positif, bermanis muka, bersimpati, menghormati orang lain, memelihara maruah dan keaiban orang.
ii. Akhlak keji
Diantara akhlak yang keji pula adalah seperti melakukan syirik terhadap Allah S.W.T, suka menabur fitnah, membuat surat beracun, surat laying, suka berdusta, suka mengumpat, suka melakukan pujian berlebihan,pemarah, menjadi batu api, suka menbuka keaiban orang lain, suka memerli, suka mengutuk, mengeji, riak, angkuh, sombong, hasad, dengki dan suka bertengkar.

Para sarjana dan ahli fikir turut mengakui pentingnya akhlak di dalam membina keluhuran peribadi dan tamadun manusia. akhlak yang mulia menjadi penggerak kepada kemajuan dan kesempurnaan hidup. Sebaliknya, akhlak yang buruk menjadi pemusnah yang berkesan dan perosak yang meruntuhkan kemanusiaan serta 
ketinggian hidup manusia di bumi ini.

No comments:

Post a Comment